Selipar 'fung keong' dan pos laju
Hari : Ahad
Tarikh : 25 Julai 2010
murid-murid tahun 6 sedang mendengar motivasi kecemerlangan UPSR yang disampaikan oleh Ustaz Hj.Khairuzaman. Program ini bermula jam 01.15 petang dan berakhir 02.15 petang.
Di sebelah malam pula :
''Kadang-kadang sebagai ibu kepada seorang anak lelaki, saya harus uruskan benda yang pelik-pelik. Contoh terbaik minggu lepas saya pos laju tali pinggang. Hari ini saya pos laju selipar Jepun pula.
''Perkara ini berlaku sebab anak lelaki saya belum sampai 'level of responsibility' yang saya harapkan dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan saudara terdekat.
''Namun saya terus berdoa supaya janganlah satu hari nanti saya perlu pos laju seluar dalam pula.''
Catatan diari seorang ibu perihal anak lelakinya berusia 14 tahun yang kini bersekolah di Ipoh, Perak.
Dia dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki yang juga anak sulung dalam keluarga. Rutin berulang-alik ke Ipoh bermula awal tahun ini. Anaknya masuk asrama semasa tingkatan dua. Selain Kuala Lumpur-Ipoh, dia juga selalu berulang-alik ke pos laju.
Catatan diarinya tidak berhenti di situ.
''Hari ini budak pos laju nak tengok pula barang yang nak dipos, terpaksalah tunjuk selipar Jepun fung keong depan orang ramai (terglamor seketika, semacam kedengaran siren ambulans di luar pejabat pos mahu mengambilku selepas diserang penyakit malu tahap 4).''
Sempat dia bergurau dalam catatannya sendiri. Sememangnya seorang ibu tidak pernah malu untuk berbuat apa saja untuk anaknya.
Dia memanjangkan lagi notanya. Dikhabarkan di sekolah anaknya tidak disediakan perkhidmatan dobi. Semasa bulan-bulan pertama, baju yang disidai di ampaian terbiar berhari-hari tidak berangkat. Akibatnya baju tersebut hilang. Paling tragis (istilah yang dia gunakan), baju-baju tersebut dikutip oleh warden yang kemudian menjualnya dengan RM2 sehelai.
''Bayangkan duit sekolah buat beli baju sendiri.''
Dimanjakan
Luahan itu memang bukan perkara baru bagi ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama terutamanya anak lelaki.
Lebih-lebih lagi jika anak itu biasa dimanjakan, apabila melalui cubaan hidup berdikari pada usia mentah maka terjadilah insiden-insiden hilang barang sampai kadangkala macam tak terjangkau dek akal.
Dalam hal ini, terfikir juga wajarkah seorang anak yang baru berusia 13 tahun dihantar ke asrama. Rasanya terlalu awal memisahkan seorang anak dengan adik-beradiknya yang lain. Tidak mustahil kelak akan menjadi punca kerenggangan hubungan lantaran bersua muka sebulan sekali atau hanya ketika cuti sekolah. Sebab itu ada ibu bapa mengeluh anak yang dihantar ke asrama pada usia terlalu muda mempunyai karakter tersendiri. Tidak begitu gemar bergaul dengan adik-beradik, pendiam dan sedikit mementingkan diri. Adakalanya mereka lebih senang bersama rakan-rakan berbanding menghabiskan masa bersama keluarga. Pernah juga kedengaran, ada anak bersikap demikian kerana memprotes dalam diam lantaran terlalu awal dipaksa berpisah dengan ibu bapa.